Seorang pegawai kastam wanita meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini malam tadi akibat dilanggar sebuah pacuan empat roda dipercayai dinaiki tonto di Banggol Chicha, Pasir Mas, Jumaat lalu.
Dalam kejadian pada pukul 1.25 pagi Jumaat lalu, mangsa, Anisah Ali, 54, bersama dua anggota kastam terserempak dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan dipercayai dinaiki penyeludup rokok di kawasan kejadian.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr. Ab. Rahman Ismail berkata, kumpulan penguat kuasa itu kemudian cuba menahan kenderaan tersebut namun pemandunya enggan berhenti sebaliknya terus memecut.
[+] Baca juga - Peperiksaan Online Penguasa Kastam
Ketika kenderaan penguat kuasa sedang mengejar suspek, datang sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipercayai tonto bertindak melanggar bahagian belakang kenderaan dinaiki mereka. Pemandu kenderaan terbabit turut menghimpit kereta dinaiki mangsa dan menghalang pihak berkuasa daripada menahan rakan penyeludup.
Ab. Rahman berkata, akibat daripada kejadian, kenderaan penguat kuasa terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar pokok. Satu tayar kereta dinaiki mangsa tercabut sebelum dirempuh sebuah kereta lain. Suspek yang menaiki Toyota Hilux itu meninggalkan kenderaan di tempat kejadian dan melarikan diri. Ketiga-tiga mangsa menerima rawatan di Hospital Pasir Mas.
Bagaimanapun, Anisah dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II di sini untuk rawatan lanjut. Dua anggota yang lain pula tidak mengalami kecederaan serius. Beliau berkata, Anisah disahkan meninggal pada pukul 11.15 malam kelmarin akibat kecederaan dalaman dan komplikasi usus dipercayai berpunca daripada kemalangan tersebut.
Setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat dan dua kenderaan jenis pacuan empat roda itu dihantar ke Jabatan Forensik untuk siasatan. Kita sedang menjalankan siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian.